Khamis, 27 Julai 2017

Bisnes Ayam Pasu Jadi Tular, Guru Agama Letak Jawatan


Kegigihan seorang bekas guru agama mencari rezeki dengan mengusahakan perniagaan ayam pasu sejak Ramadan lalu, mendapat perhatian ramai terutama di media sosial.

Mohd Azam Hussin, 42, berkata, dia tidak menyangka percubaan pertama menjualayam pasu mendapat sambutan luar biasa apabila 30 ekor ayam habis dalam masa sejam.

Dia yang berniaga di Simpang Tiga Parit Kasim, di sini mengakui tidak cukup tangan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat saban hari.

“Jumlah jualan ayam pasu bertambah sehingga sekarang mencecah hampir 200 ekor. Tak sangka, ayam pasu digemari orang Pontian sehingga kami susah nak cuti raya.

“Ramai yang meluahkan rasa kecewa di Facebook sebab tak dapat makan ayam pasu ketika Ramadan. Jadi kami teruskan berniaga ayam pasu sehingga hari ini,” katanya.


Menurut Mohd Azam, keunikan ayam pasu bukan sekadar pasu seramik yang digunakan, tetapi rempah hasil air tangannya memberikan rasa istimewa.

Tambahnya, di Pontian belum pernah lagi orang membakar ayam di dalam pasu kerana kebanyakannya menjual ayam golek atau ayam percik.

“Ayam pasu pernah mencetuskan fenomena sehingga menjadi tular di media sosial. Kaedah membakar ayam dalam pasu ini terkenal di negeri sebelah utara.

“Jadi saya dapat inspirasi untuk memulakan perniagaan ayam pasu pada Ramadan lalu. Percubaan menggunakan resipi sendiri amat berbaloi,” katanya.


Mohd Azam berkata, hanya arang dari pokok bakau digunakan bagi menghasilkan ayam yang garing.

“Ayam yang diletakkan di dalam pasu seramik, masak sekata dan menghasilkan isi yang lembut.

“Tidak hairanlah ayam pasu di sini digelar ayam pasu emas kerana warna kulit ayam yang garing,” katanya.


Nyata keputusan berhenti kerja sebagai guru agama yang dibuat Mohd Azam tidak sia-sia, malah dia kini boleh berbangga dengan hasil titik peluhnya.

“Sudah 16 tahun saya bergelar guru agama di Pontian. Sekolah Agama Kampung Parit Selangor menjadi tempat terakhir mengajar sebelum saya berhenti kerja pada tahun lepas.

“Alhamdulillah rezeki jual ayam pasu menyebelahi saya. Terima kasih orang Pontian kerana sentiasa menyokong perniagaan ayam pasu,” katanya.

Lebih membanggakan lagi, Mohd Azam yang dibantu 12 pekerja kini sudah membuka cawangan ayam pasu di Desa Rakyat Pasir Gudang dan bakal membuka sebuah lagi cawangan di Parit Raja Batu Pahat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan